Empat direman kes pukul sampai mati di George Town
Astro Awani
Jun 29, 2017 16:35 MYT
Jun 29, 2017 16:35 MYT
Empat termasuk seorang wanita ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kematian seorang lelaki yang maut dipukul di Flat Padang Tembak, George Town.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supritendan V. Saravanan memaklumkan kesemua suspek yang berusia antara 15 hingga 30 tahun, akan direman sehingga 4 Julai .
Kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret George Town kira kira jam 10.30 pagi tadi.
Mereka didakwa terlibat dengan kejadian pukul sehingga mati seorang lelaki bernama M. Sathiwill, 20, yang dijumpai tertiarap kira-kira jam 1 petang, Rabu.
Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati mukanya bengkak kerana disyaki dicederakan dengan benda tumpul.
Mangsa dipercayai telah dipukul oleh sekumpulan lelaki di koridor tingkat 16 flat berkenaan.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan mangsa telah dipukul oleh sekumpulan lima lelaki.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.