Empat direman kerana tumbuk, cakar pipi pegawai polis
Muhafandi Muhamad
Oktober 15, 2020 23:08 MYT
Oktober 15, 2020 23:08 MYT
BACHOK: Empat individu ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kerana menghalang tugas penjawat awam serta mencederakan penjawat awam tersebut.
Menurut Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat, dalam kejadian jam 8.15 malam Rabu itu, dua anggota polis yang menjalankan operasi pemantauan SOP pencegahan COVID-19 cedera selepas diserang beberapa individu di sebuah kedai di Lembah Sireh, Kota Bharu.
“Tiba-tiba sekumpulan pekerja telah menghalang pasukan penguatkuasaan, ada yang cakar pipi pegawai.
"Ada juga yang menumbuk dan sebagainya. Pasukan dapat menangani dan berlaku pergelutan, akibatnya seorang anggota kita retak jari kanan,” jelas DCP Shafien.
Insiden yang berlaku sekitar jam 8.15 malam merupakan yang pertama berlaku sepanjang operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dijalankan di negeri itu.
Susulan itu, pihaknya telah menahan tiga lelaki termasuk pemilik kedai berusia 23 hingga 28 tahun di kedai berkenaan manakala seorang lagi ditahan awal pagi tadi di Machang.
Pihaknya juga masih mengesan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.
Kesemua mereka direman selama empat hari bermula hari ini dan kes di siasat mengikut Seksyen 353 dan 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta mencederakan penjawat awam.
#penjawat awam
#retak jari kanan
#Kota Bharu
#SOP
#COVID-19
#halang tugas penjawat awam
#tumbuk polis
#cakar pipi
#machang
#direman
#Lembah Sireh