Empat dekad pemergian Seniman Agung
Muzaffar Mustapa
Mei 29, 2013 08:22 MYT
Mei 29, 2013 08:22 MYT
Hari ini, 29 Mei 2013 genap empat puluh tahun pemergian Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Allahyarham meninggal dunia pada 29 Mei 1973 di Kuala Lumpur dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan, Jalan Ampang.
Jasa Allahyarham kepada negara amat besar dan tidak ternilai. Karya seni muziknya akan sentiasa dikenang sebagai antara yang terbaik pernah dihasilkan. Lagu-lagunya sentiasa membuai jiwa pendengar tidak kurang menenang jiwa.
Sumbangannya dalam bidang muzik terus dipandang tinggi oleh penggiat seni tempatan. Lagu-lagunya terus diberikan nafas baru oleh penyanyi tempatan. Album Lagenda oleh Datuk Sheila Majid dan album kompilasi P.Ramlee: Satu Indiepretasi antara yang terbaik.
Filem-filemnya masih membuatkan kita ketawa walaupun setelah beberapa kali ditonton. Tidak cukup itu, isu yang dibawakan olehnya seakan masih relevan dengan situasi semasa. Itulah uniknya seniman bernama P.Ramlee yang mana pemikirannya melangkaui zaman.
Di pentas teater, kisah hidupnya dibawa ke Istana Budaya menerusi P.Ramlee The Musical. Teater terbitan Enfiniti Vision Media itu mendapat sambutan hangat sehingga diulang pentas dan dibawa merentas Selat Tebrau.
Generasi baru pengguna media sosial masih memperkatakan tentang beliau hingga ke hari ini. Setiap kali filem-filemnya ditayangkan di kaca televisyen, pasti ada saja yang mahu mengimbas dialog-dialog sinis dari filem tersebut.
Mac lalu, Astro AWANI pernah melaporkan berita pusara Allahyarham yang musnah setelah dihempap pokok pada kejadian yang berlaku 17 Mac lalu. Apakah usaha membaikpulih pusara Allahyarham telah siap sepenuhnya?
Setelah empat dekad pemergian Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, apakah sudah cukup kita menghargai sumbangannya dalam bidang seni?
Kongsikan pandangan dan kenangan anda mengenai Seniman Agung kesayangan semua, Tan Sri P.Ramlee.