Empat cedera nahas lima kenderaan

Sinar Harian
Februari 11, 2024 23:00 MYT
Nahas dipercayai berlaku apabila lori jenis Isuzu yang memandu dari arah Air Hitam menuju ke arah Johor Bharu gagal mengawal kenderaan dan melanggar belakang kereta Proton Wira. - Gambar Sinar Harian
KULAI: Empat cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 42, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee, kemalangan jam 10.30 pagi itu melibatkan lori jenis Isuzu, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan tiga kereta iaitu Proton Wira, Perodua Axia dan Honda Accord.
“Nahas dipercayai berlaku apabila lori jenis Isuzu yang memandu dari arah Air Hitam menuju ke arah Johor Bharu gagal mengawal kenderaan dan melanggar belakang kereta Proton Wira yang ketika itu berhenti di lampu isyarat merah.
"Pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira terbabit terdorong ke depan dan melanggar belakang kereta Perodua Axia yang kemudiannya melanggar pacuan empat roda serta kereta Honda Accord,” katanya.
"Pemandu Proton Wira, Perodua Axia dan Ford Ranger serta pemandu lori cedera ringan dan dibawa ke Hospital Kulai (Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Ujar beliau, kemalangan berlaku dipercayai akibat kecuaian pemandu lori.
"Bagaimanapun, ujian saringan air kencingnya negatif daripada sebarang bahan terlarang," katanya. -Sinar Harian
#Jalan Johor Bahru-Air Hitam #lampu isyarat merah #nahas lima kenderaan #empat cedera
;