Empat buah rumah musnah dijilat api

Dewi Nur Harasha Alias
April 14, 2022 11:40 MYT
Anggota bomba ketika melakukan usaha pemadaman api. - Foto ihsan JBPM
KEPALA BATAS: Empat buah rumah penduduk musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Muda di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.
Kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan tersebut, kebakaran membabitkan empat rumah kelas B yang terletak bersebelahan yang setiap satunya berkeluasan kira-kira 56 meter persegi.
"Peratusan kebakaran keseluruhan dianggarkan 80 peratus dan api telah dapat dikawal pada jam 7.18 pagi.
"Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dijalankan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda dan Kepala Batas sambil dibantu BBP Bertam," kata kenyataan tersebut.
Operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela berdekatan. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
#kebakaran #rumah Kelas B #bomba #mangsa
;