IPOH: Empat buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk penghantaran makanan, musnah terbakar di sebuah restoran makanan segera dekat Jalan Kuala Kangsar, di sini pada pagi Selasa.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 12.02 pagi.

Katanya motosikal itu musnah terbakar kira-kira 60 peratus, namun tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan.

Motosikal itu musnah terbakar kira-kira 60 peratus, namun tidak membabitkan mangsa atau sebarang kecederaan. - Foto JBPM Perak

"Pihak kami terima panggilan pada jam 12.02 pagi, seterusnya petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi, dengan bantuan dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.

"Pasukan Bomba yang tiba di tempat kejadian diarahkan oleh Komander Operasi membuat pemadaman menggunakan satu aliran hose reel sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya punca kebakaran masih di dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.39 pagi.