Empat bot pukat tunda nelayan Pahang ditahan di perairan Terengganu

Bernama
September 19, 2022 05:30 MYT
Anggota Jabatan Perikanan Terengganu memeriksa hasil tangkapan ikan yang dilakukan selepas pencerobohan pukat tunda di kawasan zon nelayan kecil di Jeti Pulau Duyong, Kuala Terengganu, 19 Sept 2022. --fotoBERNAMA
KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menahan empat bot pukat tunda selepas dikesan melanggar syarat lesen penangkapan ikan dalam operasi di perairan negeri ini, pada Ahad.
Pengarahnya Ruzaidi Mamat berkata kesemua bot tempatan dari Pahang itu ditahan bersama 18 awak-awak termasuk tekong di kawasan enam hingga lapan batu nautika dari Pantai Kuala Mercang dekat sini, kira-kira 12.05 tengah malam.
Beliau berkata operasi dijalankan hasil laporan nelayan dari kawasan Mercang dan Marang yang terkesan dengan kegiatan pencerobohan pukat tunda di kawasan zon nelayan kecil.
"Nilai rampasan keseluruhan termasuk bot, peralatan menangkap ikan dan lapan tan hasil laut dianggarkan RM4 juta.
"Seramai 18 kru bot berkenaan ditahan termasuk dua warga tempatan dan 16 warga Myanmar berusia 20 hingga 40 tahun," katanya dalam sidang media di Jeti Pulau Duyong di sini, semalam.
Ruzaidi berkata kesemua nelayan yang ditahan akan disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan kurang dari 12 batu nautika dari pantai atau pulau.
Selain itu mereka juga boleh didakwa di bawah seksyen yang sama kerana menangkap ikan di perairan negeri lain dan menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
"Setiap tahun kerajaan negeri dan agensi terlibat melabur ratusan ribu ringgit untuk program pengkayaan sumber perikanan seperti melabuh tukun tiruan dan unjam bagi membantu ekonomi 6,000 nelayan.
"Aktiviti pencerobohan oleh bot nelayan tempatan sendiri adalah amat tidak bertanggungjawab dan dikesali kerana menjejaskan periuk nasi nelayan tempatan yang lain," katanya.
-- BERNAMA
#bot pukat tunda #Ruzaidi Mamat #langgar syarat lesen penangkapan ikan #Jabatan Perikanan Terengganu
;