Empat beranak merempat bawah kolong di Skudai dibantu

Ernalisa Othman
Mei 9, 2020 10:43 MYT
Kolong di bawah deretan kedai menjadi tempat tinggal Norlaila bersama tiga anak perempuannya sejak lima tahun lalu. -Astro AWANI
Deretan beberapa kedai lama di Jalan Skudai, Batu 10, mungkin biasa bagi pandangan orang ramai yang melalui laluan sibuk itu setiap hari.
Kedudukannya pula di tengah-tengah pusat bandar raya Johor Bahru, mungkin secara tidak sengaja menutup mata sesetengah pihak berkuasa akan wujudnya insan serba daif ini.
Wakil Astro AWANI menyusuri kehidupan empat beranak yang tinggal di kolong selama hampir lima tahun.
Siapa sangka, salah satu deretan kedai bercat kuning kusam itu, di bawahnya menjadi tempat tinggal seorang ibu tunggal bersama tiga anak perempuannya sejak lima tahun lepas.
Memasuki ke teratak buruk Norlaila Abu Samah, 29, perlu berhati-hati kerana keadaan lantai papan yang rapuh dan berlubang dimakan anai-anai.
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, ibu tunggal itu turut menghidap kanser rahim tahap dua sejak enam tahun lepas, sekali gus menjejaskan rutinnya untuk menyara anak-anak selepas ditinggalkan suami.
Kini, Norlaila hanya mengutip barangan kitar semula selain mengambil upah mengemas rumah.
Kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi juga, katanya, sama seperti hari-hari biasa.
“Memang tidak ada apa-apa. Saya pada mulanya rasa sedih tetapi sudah reda dan pasrah dengan semua ini.
"Mungkin ada yang lebih baik untuk saya sebab kalau dulu saya sakit, saya murung, saya sedih.
“Jadi, saya kena fikir keadaan budak-budak ini. Bagaimana mereka hendak makan? Kalau saya tidak ada lagi, terus terang saya akan letak mereka di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya tidak percaya adik beradik saya; saya tidak percaya orang lain. Sebab, selama ini saya yang jaga mereka.
"Saya cakap kepada anak, kalau satu hari nanti saya tiada lagi, saya memang hendak buat surat awal, hendak beritahu JKM, tolong jaga anak-anak saya dengan baik,” katanya.
Sementara itu, bagi anak sulung Norlaila, Puteri Nadia Natasha Abdullah, 13, sudah menjadi kebiasaan baginya dan dua adiknya berkunjung ke rumah rakan-rakan setiap kali Hari Raya hanya semata mata untuk menikmati juadah yang enak.
“Hari Raya, emak masak rendang, ketupat, kadang-kadang beli kuih. Kita tak pergi berhari raya. Kadang-kadang adik-adik pergi beraya, saya teman sahaja.
"Rasa sedih, teringin hendak raya, hendak bawa duit ke sekolah, tolong emak, “ katanya.
Penderitaan Norlaila turut menarik perhatian wakil Kelab Memanah Johor, Nazirah Md Nasirudin.
“Kami tak tahu ada orang duduk di bawah kolong. Apabila kami masuk, kami sebak sebab keadaan dia teruk seperti yang kita tengok sekarang.
“Kami terima sumbangan dari sumber yang halal, kami serahkan kepada asnaf yang layak, termasuk dia. Saya dapat nombor telefon dia dan terus menghubunginya.
"Jadi, kami terus datang ke sini dan hulurkan bantuan termasuk dari Darul Fikrah Johor dan sumbangan perseorangan serta beberapa sumber lain," kata Nazirah.
Sementara itu, pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, pihaknya akan membantu keluarga itu dengan sumbangan RM200 sebulan.
#Aidilfitri #anak #asnaf #bantuan #barangan kitar semula #ibu tunggal #jkm #Johor Bahru #kanser #keluarga #kolong #rumah #Skudai #sumbangan #zakat
;