Empat beradik maut kebakaran selamat dikebumikan di Muar

Bernama
Mac 30, 2023 04:25 MYT
Pada Rabu, empat kanak-kanak ini ditemukan maut di bilik air di bahagian dapur rumah selepas rumah sewa yang didiami mereka terbakar sehingga 70 peratus. - Foto Facebook Ebit Lew
MUAR: Jenazah empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini Rabu malam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di sini, malam tadi.
Jenazah Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4; dan Fatihah Aisyah, 3; dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam.
Ibu bapa kanak-kanak berkenaan Nabila Sedu, 31; dan Thein Ko Htut, 30, kelihatan masih sugul dan tidak bermaya tatkala jenazah keempat-empat anak mereka disemadikan.
Terdahulu, keempat-empat jenazah disembahyangkan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut disertai ahli keluarga dan keluarga terdekat sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.
Pada Rabu, kesemua kanak-kanak tersebut ditemukan maut di bilik air di bahagian dapur rumah selepas rumah sewa yang didiami mereka terbakar sehingga 70 peratus.
-- BERNAMA
#empat beradik maut #kebakaran #kebakaran di Muar #Kampung Sabak Awor
;