Empat bebas dengan ikat jamin berhubung siasatan rasuah kereta api Sabah

Ruzaini Zulkepli
Januari 31, 2018 18:06 MYT
Antara tertuduh yang hadir di Mahkamah Kota Kinabalu, hari ini. Astro AWANI / RUZAINI ZULKEPLI
Empat individu, termasuk seorang timbalan pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan ikat jamin hari ini, di Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan kesemua suspek berusia antara 37 dan 58 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Tertuduh masing-masing merupakan seorang pemangku Timbalan Pengarah JKNS, dua orang jurutera dan seorang kontraktor.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin rakyat tempatan terhadap kesemua tertuduh, kecuali salah seorang jurutera.
Jurutera tersebut dikenakan ikat jamin RM50,000 dan diarahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM Sabah setiap bulan.
Keempat-empat mereka ditangkap pada 22 Jan dan setakat ini, SPRM telah menahan tujuh suspek bagi membantu siasatan.
Dalam prosiding berasingan di sini hari ini, mahkamah membenarkan permohonan reman SPRM terhadap dua individu, suspek keenam dan ketujuh dalam kes itu, bagi membantu siasatan.
Individu yang merupakan penolong jurutera JKNS itu, masing-masing berusia 36 dan 38 tahun, ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai SPRM Mohd Faliq Basirudin.
Kesemua individu ditahan bagi membantu siasatan SPRM terhadap penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan projek JKNS antara tahun 2011 dan 2017.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Suspek kelima dalam kes itu adalah kontraktor berumur 60 tahun, yang ditangkap pada 27 Jan dan perintah reman terhadapnya berakhir esok.
Tiga suspek yang berkhidmat dengan JKNS dipercayai menerima lebih RM3 juta daripada kontraktor berkenaan sejak 2011.
SPRM juga melaporkan bahawa pihaknya merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM1.6 juta dan membekukan akaun melibatkan RM5.3 juta dalam beberapa bank berhubung kes itu.
#Bebas #ikat jamin #Jabatan Kereta Api Negeri #JKNS #Rasuah #Sabah #SPRM #Timbalan Pengarah
;