Empat banduan diberi cuti tujuh hari untuk bersama keluarga sempena Aidiladha
Abd Razak Mohd Ali
Ogos 8, 2019 20:11 MYT
Ogos 8, 2019 20:11 MYT
Hari Raya Aidiladha 2019 pada Ahad ini bakal meninggalkan kenangan manis dan rasa syukur bagi empat banduan Penjara Tapah, apabila Jabatan Penjara Malaysia memberi peluang kepada mereka untuk bercuti bersama keluarga selama tujuh hari.
Peluang itu diberikan kepada melalui program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) yang tertakluk dalam Seksyen 43 Pelepasan Banduan Secara Berlesen Akta Penjara Malaysia.
Melalui program itu, banduan akan dilepaskan dengan syarat-syarat tertentu selama tujuh hari dan kembali menjalani hukuman selepas tempoh tersebut.
Pengarah Penjara Tapah, Timbalan Komisioner Penjara Kamarudzaman Mamat berkata, antara syarat utama untuk mengikuti PBSL adalah persetujuan pihak keluarga, tahap kepulihan banduan, kemajuan banduan dalam Program Pembangunan Insan (PPI) dan disiplin mereka.
Menurutnya, banduan yang boleh memohon adalah mereka yang menjalani hukuman lama dan telah menjalani hukuman penjara tidak kurang daripada empat tahun dan telah berada di peringkat empat dalam Sistem Peringkat Progresif di penjara.
Hubungan kekeluargaan
“Pelepasan secara berlesen ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan antara keluarga dan penghuni penjara yang telah terpisah di samping sebagai persediaan kepada mereka untuk mereka berhadapan dengan masyarakat dari segi pekerjaan dan kehidupan selepas mereka dibebaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan empat banduan berkenaan kepada keluarga mereka di Penjara Tapah, pada Khamis.
Kamarudzaman berkata, pemilihan banduan itu di bawah program PBSL akan menjadi motivasi kepada banduan-banduan lain.
Beliau menasihatkan banduan dan keluarga mereka agar menghargai masa serta peluang yang diberikan sebaik mungkin dan menunjukkan kepada masyarakat setempat bahawa mereka mampu berubah dan diterima semula oleh keluarga serta masyarakat.
Beliau berharap banduan yang terpilih akan menggunakan sepenuhnya kesempatan seminggu bersama keluarga untuk merapakan hubungan silaturrahim dan membina semula keluarga yang terpisah sejak lebih enam tahun lalu.
“Mereka juga dinasihatkan membuat persediaan yang sewajarnya setelah mereka bebas nanti untuk mereka meneruskan kehidupan di luar dan kembali kepada kepada masyarakat sebagai warga negara yang berguna dan produktif,” ujarnya.
#banduan penjara tapah
#hari raya
#hari raya aidiladha
#Jabatan Penjara Malaysia
#PBSL
#Pelepasan Banduan Secara Berlesen
#perayaan