Empat anggota polis direman, disyaki terlibat dalam kecurian barang kemas
Bernama
November 1, 2024 22:47 MYT
November 1, 2024 22:47 MYT
KUALA LUMPUR: Empat anggota polis ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian barang kemas milik seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di pakir sebuah kondominium di Setapak, di sini pada 1 Okt.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata empat anggota berpangkat konstabel hingga koperal berusia dalam lingkungan 28 hingga 35 tahun itu, ditahan di sekitar Setapak dan direman selama tiga hari bermula semalam.
Beliau berkata permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibuat semalam dan siasatan dijalankan berikutan laporan polis oleh seorang lelaki tempatan berhubung kecurian barang kemas itu.
"Kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan setelah memperoleh beberapa keterangan, pihak polis telah mengklasifikasikan semula kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan penahanan itu katanya, polis merampas sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan berat anggaran 11.52 gram.
Beliau berkata polis masih meneruskan siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
-- BERNAMA