Empat anggota polis cedera dalam kemalangan di KM257 PLUS

Bernama
Mac 11, 2025 06:45 MYT
IPOH: Empat anggota polis mengalami kecederaan selepas kenderaan mereka naiki terbalik di Kilometer (KM) 257 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara dekat Kuala Kangsar petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata kejadian berlaku kira-kira 3 petang itu membabitkan anggota polis kontinjen negeri Kedah.
"Kesemua mangsa ingin pulang ke kontinjen Kedah, bagaimanapun keadaan cuaca ketika kemalangan adalah hujan dan jalan licin menyebabkan mereka hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata tiada kemalangan jiwa dan hanya seorang mangsa dimasukkan ke wad, manakala tiga lagi hanya mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya ada menerima panggilan berkaitan kemalangan itu, namun pihak PLUS memaklumkan kes telah selesai.
"Mula-mula memang ada panggilan masuk tentang kemalangan itu, pihak kami baru nak dispatch jentera keluar tetapi dapat panggilan semula dari pihak PLUS pada 4.13 petang, kes telah selesai dan tidak memerlukan kehadiran pihak bomba," katanya.
Terdahulu, PLUS menerusi hantaran di laman X di akaun @plustrafik memaklumkan berlaku kemalangan pada 3.47 petang di KM257 PLUS arah utara dari Ipoh (U) ke Kuala Kangsar dengan lorong kiri terhalang, namun trafik terkawal dan pengguna diminta memandu secara berhati-hati.
-- BERNAMA
#Nahas #kenderaan terbalik #terbabas #anggota polis
;