Empat anak pasangan Malaysia ditahan di Sweden terima berita dengan hati terbuka
Astro Awani
Februari 12, 2014 16:01 MYT
Februari 12, 2014 16:01 MYT
"Saya sedih menerima berita ibu bapa saya yang akan di dakwa di Mahkamah Daerah Stockholm, Sweden"
Itu luahan sepontan anak ke tiga pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Norshalwati Norshal, Adam, 11 tahun.
Adam yang ditemui selepas majlis penerimaan wang bantuan persekolahan menjelaskan, beliau mengetahui berita berkenaan semalam.
Adam yang menduduki tahun enam Sekolah Rendah Kebangsaan Padang kala memaklumkan beliau dapat menerima berita berkenaan dengan hati terbuka namun merasa sedih apa yang berlaku itu.
Katanya beliau juga dapat menyesuaikan diri di sekolah ini dan sudah mengenali ramai kawan-kawan yang baru.
Katanya rakan-rakanya banyak membantu beliau dan adiknya dengan persekitaran sekolah ini termasuk membeli di kantin dan sebagainya.
Katanya beliau tidak bermasalah sepanjang 4 hari bersekolah bahkan merasa gembira dengan suasana persekolahan.
Adiknya, Ariff, 7 tahun katanya juga sedih apabila mengetahui berita semalam, namun beliau tidak banyak bercakap.
Semalam kesemua 4 beradik ini dikatakan tidak ke sekolah kerana menemui peguam.
Sementara itu datuk mereka, Norshal Nordin memaklumkan, emosi cucunya agak terganggu dengan berita berkenaan.
Katanya sudah lebih 2 bulan mereka tidak berjumpa dengan ibu bapa mereka dan sudah pasti mereka tertekan dan sedih terutama Ariff, anak bongsu yang dahagakan kasih sayang ibu bapa mereka.
Ahli keluarganya juga sudah melakukan solat hajat dan sentiasa berdoa supaya allah membantu dengan membebaskan pasangan berkenaan kerana baginya sebagai ibu bapa tidak salah mengajar anak mereka demi kepentingan Islam.
Katanya sebagai datuk dan bapa, beliau cuba untuk mengembirakan cucunya supaya mereka dapat melupakan seketika masalah yang dihadapi itu.
Katanya kesemua cucunya amat rindukan ibu bapa mereka kerana mereka langsung tidak dapat berhubung dengan ibu bapanya.
Katanya beliau amat kasihan dengan cucunya Arif, kerana dia seorang pendiam dan memendam rasa.
Katanya walaupun pelbagai pandangan negatif terhadap anaknya, Norshalwati dan Azizul, namun beliau lebih mengenali anaknya dan mereka sangat berpegang teguh pada ajaran Islam dalam mendidik anak-anak mereka sehinggakan mereka menolak untuk memasuki satu komuniti kejiranan di Sweden
Katanya lagi, Norshalwai baru-baru ini sebelum di tangkap sempat membayar zakat sebanyak RM14,000 yang dikirimkan kepada adik iparnya untuk di bayar di Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).
ini menggambarkan bahawa keluarga ini amat berpegang teguh pada ajaran islam terutama dalam soal mendidik anak.
Sementara itu guru penyelaras dan kaunselor, Zulkifli Mohd Noor yang mengawasi adam dan arif memaklumkan pelajar berkenaan cepat menyesuaikan diri di sekolah ini.
Katanya pelajar berkenaan di bimbing untuk menyesuaikan diri dan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu.
"Mereka mudah mesra dengan rakan-rakan di bilik darjah. Cuma adiknya yang berada di darjah dua agak pemalu dan pendiam. Saya difahamkan beliau mahir dalam matematik dan cepat dapat apa yang diajar," katanya.
Katanya beliau menjangkakan Adam dan Ariff dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa terdekat kerana mereka menunjukkan minat serta mudah bergaul dengan rakan-rakannya yang lain.