Empat anak pasangan Malaysia di Sweden berlepas pulang ke Malaysia
Zan Azlee
Januari 31, 2014 15:53 MYT
Januari 31, 2014 15:53 MYT
Empat anak pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Sweden kerana didakwa memukul anak yang enggan solat, berlepas pulang ke Malaysia pagi Jumaat.
Aishah Azizul Raheem, 14 dan adik-adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, berlepas pulang pada 6.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia) diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.
Mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) esok.
Keempat-empat mereka diserahkan kepada Kedutaan Malaysia oleh pihak berkuasa Sweden di pejabat kedutaan dan kemudian diserah kepada seorang pegawai kedutaan yang merupakan keluarga angkat baru mereka yang beragama Islam dari Malaysia.
Keempat-empat beradik itu juga dipertemukan dengan saudara mara mereka dari Malaysia.
Pihak pendakwaan pada Khamis memperoleh perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman terhadap Azizul Raheem selama 11 hari iaitu sehingga 10 Febuari ini bagi membantu siasatan.
Mahkamah sama bersidang hari ini pada 8.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) bagi memutuskan penahanan reman terhadap Shalwati.
Tahanan reman Azizul dan Shalwati sebelum ini telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak ditahan dan Sweden tidak mempunyai had penahanan reman.
##SwedenLetThemGo
#anak/children
#Azizul Raheem Awalludin
#Malaysia
#Shalwati Nurshal
#Sweden
#Wisma Putra