Empat 'ah long' ugut pukul peminjam ditahan
Umavathi Ramayah
Januari 23, 2021 18:07 MYT
Januari 23, 2021 18:07 MYT
PETALING JAYA: Empat lelaki disyaki peminjam wang atau 'ah long' ditahan kerana mengugut untuk membelasah seorang pekerja swasta sekiranya dia gagal melunaskan baki pinjaman berjumlah RM8,000.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, keempat-empat suspek yang berusia 26 hingga 28 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya ketika Ops Vulture, pada Jumaat.
Beliau memberitahu, salah seorang daripada suspek itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sementara tiga lagi rakannya direman tiga hari.
Beliau berkata, berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 31 tahun pernah membuat pinjaman sejumlah RM500 dengan sebuah syarikat pinjaman dipercayai berlesen sembilan tahun yang lalu.
"Mangsa mendakwa dia dikehendaki membayar RM1,150 sebulan bagi tempoh setahun dan dalam tempoh itu syarikat pinjaman itu memegang kad mesin juruwang automatik (ATM) mangsa.
"Pun begitu pada April 2013, pengadu mengambil keputusan untuk membatal penggunaan kad tersebut apabila mendapati bayaran yang dilunaskan melebihi jumlah pinjaman yang dipersetujui," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Nik Ezanee menambah, pada Disember 2016, pengadu sekali lagi membuat pinjaman peribadi menerusi sebuah laman sosial, yang disangkanya sebuah koperasi berdaftar.
Sejurus mengisi borang yang disediakan dalam platform itu, katanya, mangsa dihubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya ejen pemasaran untuk mengatur pertemuan.
"Dalam pertemuan itu, ejen yang datang bersama dua lagi lelaki itu kemudian membawa pengadu ke sebuah premis dipercayai syarikat pinjaman wang di mana pengadu pernah membuat pinjaman pada tahun 2012," tambahnya.
Setibanya di situ, Nik Ezanee berkata, mangsa dimaklumkan masih mempunyai tunggakan hutang sebanyak RM8,000 dan diugut supaya melangsaikannya dalam satu tempoh yang ditetapkan dan jika gagal mangsa diugut untuk dipukul.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Berlesen 1952 yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak kurang RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
#Ketua Polis Negara
#Polis Diraja Malaysia
#Ah Long
#polis petaling jaya
#ceti haram
#peminjam haram