Empangan Mengkuang dan tiga lagi lokasi rekreasi dibuka mulai esok

Bernama
Februari 25, 2021 07:12 MYT
Empangan Mengkuang yang terletak di dalam Daerah Seberang Perai Tengah bukan sahaja menjadi pusat tadahan air yang penting kepada penduduk Pulau Pinang, malah menjadi lokasi rekreasi yang digemari ramai. - Bernama
BUKIT MERTAJAM: Empangan Mengkuang dan tiga lagi lokasi rekreasi di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) akan dibuka untuk tujuan aktiviti rekreasi mulai esok.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang Soon Lip Chee berkata pihaknya menerima pertanyaan daripada rakyat negeri itu berkenaan pembukaan semula empangan Mengkuang, empangan Air Itam, empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar yang menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah.
Katanya, kesepakatan itu diambil daripada hasil Mesyuarat Exco Negeri yang berlangsung Selasa lepas.
"Ia akan dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam. Had kemasukan di Empangan Mengkuang adalah 350 orang dalam satu-satu masa manakala 200 orang di lain-lain empangan," katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan persiapan pembukaan Empangan Mengkuang di sini hari ini.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya menjaga penjarakan fizikal dan tidak mengambil kesempatan untuk berkumpul beramai-ramai sebelum atau selepas bersukan.
-- BERNAMA
#empangan mengkuang #lokasi rekreasi #riadah #orang awam #Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang #PBAPP #aktiviti riadah #SOP #penjarakan fizikal