Empangan kering, kubur timbul ...

Astro Awani
Februari 18, 2020 17:46 MYT
Kali terakhir perkuburan ini dilihat pada tahun 2016 ketika negara dilanda fenomena El Nino. - Foto Astro AWANI
Kawasan perkuburan lama dipercayai berusia lebih 100 tahun muncul selepas paras air di Tasik Pedu dekat dekat sini, Kedah surut sejak sebulan lalu.
Musim kemarau yang berpanjangan sehingga kini menyebabkan keadaan empangan itu terus kering.
Perkuburan seluas dua hektar dipercayai berada di Kampung Mong Gajah yang ditenggelamkan bagi pembinaan empangan muda pada awal tahun 1970-an.
Kru Astro Awani yang meninjau di kawasan itu menemui serpihan batu-bata dipercayai telaga yang menjadi sumber air penduduk kampung berkenaan suatu ketika dulu, selain keadaan batu nisan lama yang masih utuh.
Kali terakhir perkuburan ini dilihat pada tahun 2016 ketika negara dilanda fenomena El Nino.
Lebih 100 waris mengadakan kenduri tahlil dan bacaan yassin di sebuah pondok yang didirikan di tengah tasik itu, selepas perkuburan itu muncul.
Majlis daerah padang terap membina pagar di kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar pada tahun 2006 bagi memastikan ia terpelihara terutama semasa air tasik kering.
"Kita panjangkan ke pihak yang berkenaan jadi kalau tidak ada apa apa halangan kalau boleh kita nak pindah lah tetapi atas lawatan dan ziarah Jabatan Mufti depa buat kajian oleh kerana sudah lima puluh tahun ke atas tak perlu lagilah untuk kita pindah jadi setakat hari ini alternatifnya kita buat lingkung dengan pagaq lah kan kawasan yang timbul tu kita lingkung dengan pagar," kata imam Masjid Tong Pelu, Mohd Khairi Idris, yang
Penduduk dan waris yang tinggal di sekitar tidak akan melepaskan peluang menziarah perkuburan itu walaupun mereka tidak pasti yang mana satu kubur nenek moyang mereka.
Bagi Hasliza Zanol, 41 tahun, dia tidak melepaskan peluang menziarah perkuburan itu, berikutan moyangnya turut disemadikan di tanah perkuburan itu.
Katanya, penduduk yang mahu menziarahi perkuburan itu perlu menaiki bot menyusuri Sungai Mong Gajah yang menjadi pemisah antara kawasan kubur dan penempatan penduduk Kampung Mong Gajah.
"Masa tu saya berumur 10 tahun saya terkejut jugak saya pun tak tau kata ada kubur bawah tasik saya pun tak tau masa tu tapi sekarang saya dah berusia 41 tahun dan saya tidak terkejut sangat kerana dah biasa, yang saya dapat tahu dari arwah Tok Wan saya sendiri dia pernah cerita dia kata perkampungan lama di sini," kata Hasliza.
Terdapat dua kampung menjadi penempatan penduduk sebelum ianya ditenggelamkan untuk memberi laluan kepada projek tadahan air.
Antaranya Kampung Kuala dan Kampung Durian.
"Macam tahun tahun lepas tu orang tak masuk lah dah macam tahun ni orang ramai lah dah ada timbul macam tu, Tok Wan kak memang dok sini tu anak-anak dia tu menantu dia semua mai sini," kata penduduk Sarimah Manas.
Selain daripada empangan muda terdapat juga kubur lama dipercayai berusia lebih 200 tahun muncul di Tasik Gubir akibat kemarau melanda ketika ini.
Perkuburan seluas hampir sehektar itu dipercayai berada di Kampung Lubuk Kemahang yang ditenggelamkan bagi pembinaan empangan muda pada awal tahun 70-an.
#air #batu nisan lama #empangan kering #kubur #tanah perkuburan #Tasik Gubir #Tasik Pedu
;