Empangan Bakun lepaskan air secara berperingkat mulai 8 Sept ini
Fadilah Sulaiman
September 4, 2021 14:46 MYT
September 4, 2021 14:46 MYT
BELAGA: Paras air di Empangan Hidroelektrik Bakun kini melebihi paras selamat dan perlu diturunkan secara berperingkat.
Lembaga Sungai Sarawak (LSS) dalam satu notis menjelaskan, operasi pelepasan air dari Empangan Hidroelektrik Bakun secara terkawal akan dilakukan mulai Rabu depan (8 September 2021) selama lima minggu iaitu hingga 12 Oktober 2021.
“Tujuan operasi pelepasan air secara terkawal ini adalah untuk membolehkan penurunan air di dalam Empangan Hidroelektrik Bakun ke paras yang selamat.
“Semasa tempoh pelepasan air ini, paras air di sebelah hilir Empangan Hidroelektrik Bakun dijangka mengalami peningkatan paras air,” kata notis itu.
LSS menambah, notis itu dikeluarkan bagi memberi makluman awam kepada semua pihak terlibat termasuk pengusaha, pemilik, ejen dan masyarakat perkapalan, pengguna sungai supaya mengambil tindakan awal sebagai langkah berjaga-jaga.
“Semua pihak yang terlibat iaitu orang awam, masyarakat perkapalan dan pengguna sungai di hilir Empangan Hidroelektrik Bakun adalah dinasihatkan supaya mengambil tindakan awal dari aspek keselamatan semasa berlayar atau penggunaan di perairan ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” tambahnya.