Emosi cemburu kuasai lelaki 61 tahun, dua beranak cedera dikelar

Astro Awani
Jun 23, 2019 09:39 MYT
Mangsa wanita berusia 51 tahun itu kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital. - PDRM
Gara-gara cemburu, seorang wanita dan anak lelakinya dikelar dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Air Itam, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, wanita berusia 55 tahun dan anak lelakinya berusia 21 tahun parah dikelar di leher oleh suspek, 61 tahun, iaitu teman lelaki wanita tersebut yang tinggal bersama di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian berlaku ketika wanita itu pulang ke rumah yang didiami mereka kira-kira jam 1.30 pagi.
Seterusnya berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek, sebelum anak lelaki mangsa bertindak campur tangan bagi mempertahankan ibunya.
Akibat pergelutan itu, kedua-dua beranak itu cedera parah pada leher manakala suspek pula cedera pada kepala, muka dan perut.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut namun siasatan awal mendapati kejadian itu tercetus kerana perasaan cemburu suspek yang mendakwa mangsa mempunyai teman lelaki lain.
Ekoran kejadian itu, pihak polis telah menahan suspek kira-kira jam 8.30 pagi Ahad ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut Che Zaimani, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
#dua beranak dikelar #George Town #HPP #jenayah #kelar #mangsa #Penang #suspek