Emir Qatar berminat terhadap Sidang Kemuncak KL

Bernama
Disember 12, 2019 07:51 MYT
Dr Mahathir bersama dengan Sheikh Tamim Hamad Al Thani ketika hadir pada Majlis Sambutan Rasmi Bersempena Lawatan Rasmi Empat Hari Ke Qatar, 12 Dis, 2019. --fotoBERNAMA
Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani amat berminat dengan hasrat Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bakal berlangsung minggu depan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu dinyatakan ketika beliau menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata dengan Emir Qatar di Amiri Diwan pada Khamis.
Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Negara Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.
"Pada pertemuan dengan Emir Qatar, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.
"Saya fikir Emir akan datang (ke sidang kemuncak itu), dan memberi banyak sumbangan (idea) melihat kepada cara baginda mentadbir Qatar lebih menumpukan soal pelajaran," katanya kepada media Malaysia selepas Majlis Makan Malam bersama diaspora Malaysia di Qatar, di sini, malam tadi.
Sidang kemuncak bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 18 hingga 21 Dis itu antara lain bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu serta yang boleh digunakan untuk masalah menimpa dunia Islam, dan menyumbang ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan negara-negara Islam.
Ia juga bertujuan untuk membentuk jaringan antara pemimpin Islam, cendekiawan, ulama dan pemikir di seluruh dunia, serta menghidupkan semula peradaban Islam.
Dr Mahathir ialah pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019.
BACA: KL Summit 2019: Lebih 400 pemimpin Islam bakal berkampung di Malaysia
BACA: Tun M bakal terima dua anugerah utama di Qatar
Selain Emir Qatar, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan; Presiden Iran Hassan Rouhani dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, dijangka menyertai sidang kemuncak berkenaan.
Ditanya mengenai mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri Qatar semalam (Khamis), Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini bermula Rabu (11 Dis), berkata pemain industri terkemuka Qatar berminat untuk melabur di Malaysia.
"Mereka juga mahu rakyat Malaysia datang ke sini untuk melabur dan menjalin perkongsian dengan mereka," katanya.
BACA: Malaysia destinasi ideal bagi pelabur Qatar - Tun Mahathir
BACA: Tun Mahathir diberi sambutan rasmi di Amiri Diwan Qatar
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut tertarik dengan cara Qatar mengatasi masalah setelah dikenakan sekatan ekonomi oleh beberapa negara sejak 2017, antaranya dengan menceburi sektor ternakan lembu bagi menghasilkan susu sedangkan negara berkenaan tidak mempunyai padang rumput yang banyak.
Beliau berkata pentadbiran Qatar juga mengutamakan bidang pendidikan untuk rakyat mereka, antaranya dengan mempelawa banyak universiti terkemuka dunia untuk membuka cawangan di negaranya.
"Ini satu usaha yang akan menjadikan rakyat Qatar lebih berpelajaran daripada kebanyakan negara Islam lain. Pada masa sama, mereka juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium untuk mengajar selain bagi pendidikan agama dan beberapa bidang lain," katanya.
-- BERNAMA
#Amiri Diwan #diaspora Malaysia #Doha #ekonomi #Emir Qatar #Mahathir Mohamad #pelaburan #pendidikan #perkongsian #Qatar #sekatan ekonomi #Sheikh Tamim Hamad Al Thani #Sidang Kemuncak KL
;