EMARS dapat jimat perbelanjaan negara RM15 juta setahun

Israr Khalid
April 15, 2023 14:29 MYT
Nga (lima, kanan) dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (empat, kanan) bergambar bersama helikopter Emars jenis A109E ketika Majlis Pelancaran Helikopter Emars dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan JBPM hari ini. - BERNAMA
SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan perkhidmatan khas helikopter ambulans pertama negara dipanggil Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS).
Inisiatif itu merupakan usaha memenuhi keperluan perkhidmatan kecemasan semua lapisan masyarakat, terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung-kampung Orang Asli yang sukar diakses dengan laluan darat.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selain memastikan ketersampaian perkhidmatan kepada akar umbi di mana pun mereka berada, EMARS dapat menjimatkan perbelanjaan negara sekurang-kurangnya RM15 juta setahun.
“Ketika ini Kementerian Kesihatan terpaksa mengupah khidmat pakar swasta termasuk flying doctors di kawasan-kawasan pedalaman.
“Setiap tahun anggaran perbelanjaannya adalah lebih kurang RM20 juta. Tapi sekarang dengan khidmat yang ditawarkan oleh pasukan bomba ini, kita cuma belanja RM5 juta sahaja setahun,” katanya pada Majlis Pelancaran EMARS dan Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023 di sini hari ini.
Turut hadir menyempurnakan majlis adalah Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.
Inisiatif yang dilaksana dengan libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) akan memulakan operasinya pada 1 Mei ini, turut berfungsi untuk membantu mempercepat operasi kecemasan seperti pemindahan mangsa kemalangan jalan raya dan pemindahan organ.
Helikopter EMARS diambil daripada aset sedia ada JBPM dari jenis Agusta Agusta A109E Power yang diubah suai untuk dilengkapi peralatan perubatan kecemasan, boleh memuatkan tujuh orang pada satu-satu masa.
Buat masa ini, kata Kor Ming, satu sahaja helikopter EMARS akan digerakkan ke seluruh Semenanjung dan perkembangan jumlah dan kawasan liputannya di masa akan datang bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan.
Sementara itu, menyentuh mengenai Kempen Keselamatan Musim Perayaan 2023, Kor Ming memaklumkan bahawa JBPM menzahirkan komitmennya dalam memastikan keselamatan adalah bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa tetapi setiap anggota masyarakat.
Bagi musim Aidilfitri, hanya 20 peratus daripada keseluruhan anggota seluruh negara diberikan kelulusan untuk cuti beraya sementara selebihnya akan bergilir bertugas mengikut syif di 334 buah balai bomba di serata negara.
IFrame
EMARS | Jimat perbelanjaan negara RM15 juta setahun
#helikopter ambulans #EMARS #Nga Kor Ming #JBPM
;