eMADANI: 6.5 juta permohonan lulus, RM650 juta telah dikreditkan

Bernama
Disember 6, 2023 15:11 MYT
Ahmad Maslan (tiga, kiri) bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perbelanjaan penggunaan kredit eMADANI di pasaraya Mydin Putrajaya hari ini. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Sebanyak 6.5 juta permohonan bantuan kredit eMADANI telah diluluskan dan dikreditkan kepada penerima membabitkan peruntukan sebanyak RM650 juta setakat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Bercakap kepada pemberita selepas melakukan tinjauan perbelanjaan menggunakan eMADANI di sebuah pasar raya di sini hari ini, Ahmad berkata sebanyak 1.8 juta lagi permohonan masih dalam proses kelulusan yang mengambil masa satu hingga lima hari dari tarikh permohonan.
"Begitu ramai yang memohon sepanjang tiga hari ini walaupun kita membuka hingga 20 Februari 2024 dan boleh digunakan hingga 29 Februari depan.
"Bagaimanapun, mereka yang rasa layak tetapi permohonan gagal boleh membuat rayuan untuk permohonan semula," katanya dan menjelaskan permohonan dalam semua aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet lain akan ditolak jika gagal pada permohonan pertama.
Beliau berkata mereka yang gagal boleh membuat rayuan melalui beberapa platform termasuk menghantar e-mel menerusi emadani@treasury.gov.my atau menghubung talian 03-88824565 dan 1800882747.
Empat aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet yang boleh dipilih ialah Shopee, MAE Maybank, Touch N' Go atau Setel Petronas.
Sementara itu, Ahmad berkata antara punca individu gagal memohon atau tidak termasuk dalam kumpulan kelayakan adalah kerana tidak mengemukakan cukai tahun taksiran 2022 dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata hal ini kerana kelayakan bagi bantuan eMADANI itu dikenal pasti melalui penyata cukai tahun taksiran 2022 jika pemohon bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah.
"Sekiranya mereka membuat perisytiharan cukai dan masih tidak layak, kemungkinan pendaftaran nama mereka dalam platform e-dompet dan rekod LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) adalah tidak sama dan boleh merayu.
"Contoh individu yang tidak dapat memohon juga termasuk pelajar universiti kerana telah menerima eBeliaRahmah," katanya dan menambah isu berkaitan permohonan eMADANI yang dihadapi oleh orang ramai akan dibawa ke mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Kewangan.
Sementera itu, beliau berkata syarat ketat yang ditetapkan bagi program eMADANI berkenaan adalah sebagai usaha untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
"Kita nak membantu rakyat dengan kembangkan ekonomi setempat dan bukannya syarikat-syarikat besar seperti untuk pembayaran tol dan sebagainya," kata beliau.
Pendaftaran dan tuntutan kredit eMADANI bermula Isnin lepas akan memanfaatkan 10 juta rakyat melibatkan peruntukan sebanyak RM1 bilion.
-- BERNAMA
#Ahmad Maslan #eMADANI #bantuan kredit #penyedia perkhidmatan e-dompet
;