Elon Musk minta jumpa PM Anwar minggu depan

Astro Awani
Julai 7, 2023 17:51 MYT
Anwar berkata, Musk menyatakan hasrat untuk bertemu dengannya pada minggu depan. - Gambar fail
SEREMBAN: Bilionair Elon Musk menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu depan berhubung penambahan pelaburan di Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Anwar ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini pada Jumaat.
"Dua minggu lalu, Saudi Aramco, sebuah syarikat minyak terbesar di dunia datang menemui saya pada Persidangan Energy Asia 2023 dan bersetuju untuk menambah pengembangan pelaburan di Johor. Ini kerana keyakinan syarikat itu kepada kita (Malaysia).
"Minggu depan, Elon Musk minta untuk berunding dengan saya untuk bincang kemungkinan dan komitmen beliau untuk menambah pelaburan di Malaysia.
"Ini penting, jika tiada pelaburan, pengangguran akan meningkat, ekonomi tidak akan berkembang, restoran, hotel dan lain juga akan terjejas,” katanya di sini pada Jumaat.
Anwar menambah, tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik mampu menarik minat serta keyakinan pelabur domestik dan asing untuk melabur di negara ini, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Menurutnya, perkara itu terbukti apabila di bawah pentadbirannya yang mementingkan perkara berkenaan, kemasukan pelaburan asing.
#Elon Musk #Anwar Ibrahim #pelaburan asing #ekonomi malaysia
;