Elemen TVET diperkenal kepada murid Tahun Satu pada 2027

Bernama
November 14, 2024 14:30 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan elemen TVET dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.
  • Murid Tahun Lima dan Enam akan mempelajari asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, kejuruteraan, dan pertanian melalui pembelajaran berasaskan projek. 3, Kandungan TVET akan dikembangkan lagi kepada murid menengah rendah (Tingkatan Satu hingga Tiga) untuk mengenali potensi diri dan mendorong minat mereka dalam bidang tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata murid sekolah rendah akan diperkenalkan dengan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.
"Seterusnya bagi murid di Tahun Lima dan Tahun Enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.
"Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai sama ada KPM berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal usia tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.
Wong berkata kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.
"KPM yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat Tingkatan Tiga," katanya.
-- BERNAMA
#murid Tahun Satu #TVET #Dewan Rakyat #Wong Kah Woh
;