Elemen keseronokan perlu diterap dalam pendidikan Sains dan Matematik
Bernama
Mei 10, 2016 18:12 MYT
Mei 10, 2016 18:12 MYT
Pendidikan Sains dan Matematik perlu diterapkan dengan elemen menyeronokkan bagi menggalakkan lagi minat pelajar terhadap mata pelajaran itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata guru-guru yang juga menjadi duta sains perlu memupuk pemikiran kritis dan kreatif kepada pelajar pada sesi pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata kementeriannya menerusi Akademi Sains Malaysia turut memperkenalkan "Inquiry Based Science Education System" (IBSE) di semua peringkat sekolah bagi memastikan lebih ramai pelajar menceburi bidang berkenaan.
Katanya berdasarkan kajian pada 2012, didapati pencapaian pelajar dari sekolah berprestasi rendah yang menggunakan kaedah IBSE lebih cemerlang berbanding pelajar yang tidak menggunakan kaedah itu.
"Kita akan laksanakan kaedah ini di beberapa sekolah lain di Jerlun di Kedah, Setiu di Terengganu dan Tuaran di Sabah," katanya berucap pada perasmian Karnival Sains, Program Inovasi Sosial MOSTI-Duta Sains Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerlun, dekat sini hari ini.
Madius berkata guru sains yang dipilih mengikuti program itu akan diberikan latihan mengenai kaedah IBSE melalui beberapa siri bengkel mingguan anjuran Program Duta Sains.
Beliau berkata usaha ini sebagai serampang dua mata untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran sains dan matematik di sekolah sekali gus dapat menarik minat generasi muda untuk meminati bidang itu.
Selain itu, katanya duta sains yang dilantik perlu memberi informasi berterusan kepada penduduk setempat mengenai pendekatan terkini Sains dan Matematik.
"Menerusi karnival sains dan inovasi yang dianjurkan membolehkan pelajar mendekati sains sekai gus dapat menyuntik semangat dan minat dalam bidang tersebut," katanya.