Elaunnya adalah menang kes mahkamah - Anwar
Sinar Harian
Mei 17, 2018 07:20 MYT
Mei 17, 2018 07:20 MYT
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mahu duduk di dalam pentadbiran negara buat masa ini.
Menurutnya, cukuplah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menerajuinya bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan yang lain.
"Untuk jawatan? Saya tak mahu jawatan. Cukuplah jadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Elaun? Adalah menang kes mahkamah," katanya selepas majlis iftar di kediamannya di Bukit Segambut Dalam, di sini, malam tadi.
Anwar sebelum ini berhadapan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008, tuduhan yang dikatakan penyokongnya sebagai bermotifkan politik.
Beliau mendapat pengampunan penuh selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menitah perkenan rayuan pengampunannya dan akhirnya diberi pembebasan serta-merta selepas rayuan pengampunan dibentang dan dipertimbang dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ke-51.
Pada sidang media beliau pada Rabu, Anwar berkata "Dari penjara ke istana" bagi menggambarkan tuah dirinya yang mendapat pengampunan tanpa syarat dari Agong.
Pengampunan itu bermakna apa sahaja rekod kesalahan yang dicatat sebelum ini, terpadam tanpa ada secalit kesan pun.
#Angkatan Belia Islam Malaysia
#Anwar Ibrahim
#elaun
#kesalahan
#lembaga pengampunan
#Mahathir Mohamad
#majlis iftar
#menang
#pengampunan
#pentadbiran
#Presiden Abim
#terpadam
#Wan Azizah Wan Ismail
#Yang di-Pertuan Agong