Elaun Pengerusi TNB jauh lebih rendah daripada yang ditularkan

Ridauddin Daud
Jun 16, 2020 18:18 MYT
Menerusi satu kenyataan, TNB menjelaskan elaun Mahdzir jauh lebih rendah dari paparan yang dikongsikan dalam media sosial itu. - Gambar BERNAMA
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan mesej tular dalam media sosial yang mendakwa Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerima elaun tinggi.
Menerusi satu kenyataan, TNB menjelaskan elaun Mahdzir jauh lebih rendah dari paparan yang dikongsikan dalam media sosial itu.
“Sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, emolumen yang diterima Ahli-ahli Lembaga Pengarah TNB dinyatakan dalam Laporan Tahunan yang diterbitkan setiap tahun.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus mengongsikan paparan tidak benar berkaitan elaun tinggi tersebut dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang perkongsian.
“Perbuatan menularkan paparan serta maklumat yang tidak benar atau palsu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” menurut kenyataan itu.
Beberapa hari lalu, tular satu dakwaan mengatakan isu caj bil elektrik mengelirukan dan terlalu tinggi dikenakan TNB kepada pengguna sejak tiga bulan lalu disebabkan syarikat perlu membayar elaun tinggi kepada Mahdzir.
Begitupun, menerusi laporan media, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menafikan dakwaan itu dan menyifatkan dakwaan pihak terbabit sebagai 'nakal' susulan jumlah elaun sebenar diterima jauh lebih rendah.
"Elaun sebenar yang diterima jauh lebih rendah.
"Cukup saya katakan terlalu rendah daripada apa yang ditularkan," katanya.
#bil #Bursa Malaysia #Facebook #Mahdzir #Mahdzir Khalid #majlis tertinggi #Malaysia #Media #media sosial #tinggi #TNB #Tular #UMNO #undang-undang
;