Elaun pembantu Tabika KEMAS naik RM300 - PM
Umavathi Ramayah
Ogos 28, 2022 12:58 MYT
Ogos 28, 2022 12:58 MYT
SERDANG: Sebagai menghargai sumbangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kepada negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan beberapa berita gembira.
Pengumuman itu antaranya adalah kenaikan elaun Pembantu Pembangunan Masyarakat Sukarela KEMAS yang sebelum ini sebanyak RM500 kepada RM800, melibatkan 9,439 orang.
Dalam masa sama, beliau turut mengumumkan kenaikan bantuan kos sara hidup kepada RM500 berbanding RM300 sebelum ini bagi mengenang jasa anggota Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) sebanyak 4,423 orang.
“Ini adalah sebagai menghargai jasa, sumbangan dan tenaga anggota KEMAS dalam melaksanakan segala usaha untuk meningkatkan kualiti kesejahteraan masyarakat luar bandar,” kata beliau.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Perdana sambutan 60 Tahun KEMAS, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, dalam usaha mendigitalisasi KEMAS, beliau turut bersetuju untuk memberi peruntukan untuk mula mendigitalisasi Tabika KEMAS melibatkan 800 Tabika seluruh negara.
“Kita akan memberi peruntukan sebanyak RM8 juta selepas itu akan digitalisasilan Tabika KEMAS.
“Saya percaya banyak lagi perlu perubahan. Saya selalu bangkit dalam Kabinet dari segi penyelenggaran kurang, banyak Tabika KEMAS uzur. Ada yang menumpang bangunan orang dan balai raya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan meneliti cadangan untuk memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan KEMAS ke lantikan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun.
Katanya, setakat ini terdapat 4,322 pegawai dan kakitangan KEMAS berjawatan kontrak yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun.
“Pada masa yang sama saya juga sedia melihat kelonggaran syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap,” katanya.
Menurut Ismail Sabri, dasar tersebut juga melibatkan lantikan kontrak perkhidmatan pada atau sebelum 11 Oktober 2020 yang sebelum ini hanya diluluskan kepada pegawai lantikan kontrak sebelum atau pada 23 Oktober 2015.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menyokong cadangan untuk meluluskan kenaikan pangkat dua gred bagi skim-skim perkhidmatan iaitu Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Tabika, Taska,
Pembangunan Kemahiran dan Komuniti Gred S29 kepada gred S32 dan gred S38.
“Begitu juga dengan Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 kepada dua Gred S22 dan S26,” ujarnya.