Elaun pelajar 'intern' perlu boleh tanggung kos harian - PM Anwar

Hilmi Malik
Jun 18, 2023 16:48 MYT
Pelajar latihan industri harus dibayar sekurang-kurangnya kos perbelanjaan harian mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Bayaran yang terlalu rendah oleh majikan terhadap pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau ‘internship’ dianggap tidak munasabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, majikan seharusnya mempertimbangkan untuk membayar jumlah yang sekurang-kurangnya mampu menampung kos perjalanan atau perbelanjaan harian pelajar berkenaan.
“Untuk syarikat-syarikat tidak bayar sama sekali dan bayar sangat rendah itu tidak munasabah, ini sebab saya katakan dasar ekonomi kita harus tekankan prinsip keadilan.
“Syarikat digalakkan untuk ambil ‘intern’, bukanlah bayar gaji atau separuh gaji tetapi sekurang-kurangnya bayarlah yang mencukupi supaya perjalanan mereka, makan mereka ditanggung walaupun 'intern'.
“Sebab itu bila saya ambil 'intern' semasa di pejabat Ketua Pembangkang dulu di Parlimen, kita bayar tidak terlalu tinggi tetapi ada sedikit elaun untuk kos perjalanan dan makan minum kerana prinsipnya 'intern' itu bukan pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Ahad.
Perdana Menteri dalam masa yang sama akan membawa perkara berkenaan untuk dibincangkan bagi mendapatkan satu penyelesaian yang inklusif berhubung permasalahan yang dibangkitkan.
Terdahulu, salah seorang pelajar di UMK tampil dengan soalan berhubung apakah usaha kerajaan terhadap isu pelajar latihan industri yang tidak menerima sebarang bayaran daripada pihak majikan.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar pada Ahad turut berkata, isu itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan 'intern' tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma.
#Perdana Menteri #latihan industri #intern #Anwar Ibrahim
;