Elaun minimum RM800 buat pelatih industri di pejabat kerajaan, GLC - PM Anwar
Ridauddin Daud
Julai 14, 2023 16:40 MYT
Julai 14, 2023 16:40 MYT
PUTRAJAYA: Pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum sebanyak RM800 sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara tradisinya pelatih industri tidak diberikan bayaran namun elaun itu penting terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga tidak berkemampuan.
Menurutnya, isu tersebut antara yang dibangkitkan mahasiswa ketika beliau melakukan beberapa sesi dialog bersama mereka sebelum ini.
“Jadi untuk permulaan, intern (pelatih industri) memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan, tetapi ada yang datang dari keluarga miskin.
"Malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadangan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Jadi untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun perantisan RM800 sebulan untuk semua pelatih industri," katanya.
Tambah Anwar, cadangan tersebut diberikan pelajar tingkatan enam dan ia tetap diperhalusi meskipun bukan datang daripada pakar ekonomi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar turut mengarahkan GLC menyediakan laporan berkala berhubung jumlah lepasan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diambil syarikat berkenaan.
"Berhubung aspek peluang pekerjaan dan meraih pendapatan. GLC yang menyediakan 35,000 peluang pekerjaan akan turut mengambil lepasan TVET bekerja.
"Saya sudah minta semua GLC memberikan laporan berkala berapa jumlah yang diambil supaya sasaran kita untuk mendapat 35,000 pekerjaan akan dapat dipenuhi," katanya.