Elaun latihan industri RM800 ringankan beban pelajar di Lembah Klang
Hasimi Muhamad
Julai 15, 2023 18:59 MYT
Julai 15, 2023 18:59 MYT
KUALA LUMPUR: Elaun perantisan minimum sebanyak RM800 sebulan kepada pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu meringankan beban kumpulan berkenaan khususnya di Lembah Klang.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar ibu negara hari ini mendapati elaun tersebut dijangka bantu para pelajar menampung kos tambang perjalanan ke tempat kerja, makan serta minum sepanjang menjalani pogram latihan industri.
Menurut Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Zulfikri Zulkifli, pemberian elaun tersebut juga disifatkan mampu memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan mahasiswa untuk berkhidmat kepada negara pada masa akan datang.
"Pemberian elaun ini akan memudahkan pergerakan dan meringankan beban kos sara hidup pelajar. Kita faham para pelajar sewaktu latihan industri mereka akan fokus untuk belajar, selain bekerja.
"Jadi, elaun RM800 hasil bantuan kerajaan akan meringankan beban mereka," katanya ketika ditemui di ibu negara pada Sabtu.
Mengulas lanjut, pelajar tahun ketiga Sarjana Muda Rekabentuk Multimedia Interaktif itu berpandangan, syarikat-syarikat besar swasta juga boleh mempertimbangkan inisiatif sama dengan memberikan elaun kepada para pelajar yang menjalani latihan industri.
"Bagi pihak swasta saya faham, pertimbangan mereka ialah perlu mengeluarkan kos tambahan untuk bantu para pelajar (pemberian elaun). Tetapi tiada masalah untuk syarikat besar menyahut seruan (kerajaan) atau tetapkan satu aras yang boleh (jumlah elaun diberikan) agar pelajar-pelajar dapat fokus untuk belajar dan bekerja," tambahnya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Danish Ahmed Aznee, 19, berpandangan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, segelintir mereka secara purata memerlukan sekitar RM30 hingga RM40 untuk perbelanjaan harian.
"Bagi saya pemberian elaun ini dapat digunakan dari segi (menampung kos) pengangkutan, makan dan minum, serta memudahkan para pelatih industri untuk ke tempat kerja mereka.
"Kalau saya (jika tak dapat elaun latihan industri), saya perlu buat kerja sementara seperti pemandu Grab untuk dapat elaun lebih sebab perbelanjaan bulanan tak cukup untuk menampung sara hidup di sini (Lembah Klang)," katanya.
Bagi pelajar tahun pertama jurusan Sains Sukan, Tan Hen Hui, 20, pula, dia tidak menolak bahawa kebanyakan para pelajar ketika ini terbeban dengan peningkatan harga barangan.
"Pada masa kini harga barang pun semua naik. Saya fikir kerajaan boleh tambah sikit (elaun) kepada para pelajar untuk mereka cukup makan dan duit harian.
"Tetapi bagi saya, RM800 itu cukup kerana kos (perbelanjaan) saya pun sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan," ujarnya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata secara tradisinya pelatih industri tidak diberikan bayaran namun elaun itu penting terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga tidak berkemampuan.