Elaun guru takmir masjid dibayar penuh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan - Jakim
Bernama
Mac 20, 2020 17:05 MYT
Mac 20, 2020 17:05 MYT
Seramai 4,000 guru takmir masjid lantikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), akan menikmati bayaran elaun penuh sebanyak RM800, walaupun sesi pembelajaran tidak dapat diadakan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Timbalan Ketua pengarah (Dasar) Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pembayaran elaun penuh itu telah dipersetujui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
"Menyedari kesulitan yang dihadapi 4,000 orang guru takmir masjid di seluruh negara, yang tidak dapat melaksanakan tugas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac, Yang Berhormat Menteri telah bersetuju supaya pembayaran elaun penuh sebanyak RM800 diteruskan, walaupun sesi pembelajaran tidak dapat diadakan sepanjang tempoh tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hakimah berkata, ia merupakan sebahagian inisiatif #musaadahcovid19 yang diperkenalkan Zulkifli, bagi meringankan beban pihak yang terjejas akibat wabak COVID-19. - BERNAMA
#COVID19
#elaun
#Guru Takmir
#Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
#JAKIM
#masjid
#MUSAADAHCOVID19
#perintah kawalan pergerakan