Elak timbul isu jejas keharmonian kaum di media sosial - Tiong

Bernama
Ogos 31, 2024 05:20 MYT
King Sing (tengah) beramah mesra dengan para peserta program pada majlis Makan malam meraikan 200 peserta insentif dari China dibawah Beijing Jingdong Century Trading Co.Ltd ke Malaysia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menggesa semua pihak supaya tidak menimbulkan sebarang isu di media sosial yang boleh menyebabkan salah faham dan menjejaskan perpaduan serta keharmonian kaum di negara ini.
Mengulas kritikan terhadap video tular berkaitan promosi pelancongan ke Melaka yang didakwa menonjolkan elemen satu kaum sahaja, Tiong berkata perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu.
Beliau berkata kementerian mendapati video itu dihasilkan oleh sebuah stesen televisyen di China bagi mempromosikan pelancongan Melaka kepada rakyat republik berkenaan, sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
"Janganlah kita mainkan isu yang bukan-bukan. Sebagai anak Malaysia, kita perlu belajar menjaga keharmonian dan perpaduan kerana itu yang paling utama untuk negara kita.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga sudah bekerja keras (untuk memastikan keharmonian terjaga), jadi beliau menaruh harapan agar kita juga bersatu tanpa mengira bangsa atau agama," katanya kepada pemberita selepas mengalu-alukan ketibaan kira-kira 200 pelancong China di bawah Beijing Jingdong Century Trading Co Ltd (JD.COM) ke Malaysia, di sini malam tadi.
Tiong berkata kumpulan itu akan menjelajah ke seluruh negara hingga 5 Sept ini termasuk ke Negeri Sembilan dan Melaka.
-- BERNAMA
#Tiong King Sing #isu perkauman #media sosial #keharmonian