Elak rentas negeri, balik kampung sementara tunggu vaksin - Pakar kesihatan

Hasimi Muhamad
Disember 26, 2020 08:23 MYT
Kerajaan dan KKM telah pun menyediakan pelan strategik bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku peningkatan kes secara mendadak. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai sekali lagi dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti merentas negeri atau pulang ke kampung dalam tempoh negara menunggu untuk menerima bekalan vaksin COVID-19.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpandangan, langkah-langkah pencegahan serius perlu dipatuhi dalam tempoh satu atau dua bulan bagi mengelakkan keadaan yang lebih kritikal.
Bagaimanapun, jelas beliau kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) telah pun menyediakan pelan strategik bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku peningkatan kes secara mendadak.
"Saya ingat kalau nak bercuti tanpa melibatkan mana-mana (rentas negeri) kampung, ia tidak begitu menjejaskan.
"Bagaimanapun, kalau kita perlu menziarah atau menghadiri majlis, saya ingat ia perlu ditangguhkan selari dengan persediaan negara dalam tempoh satu atau dua bulan ini untuk menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes secara mendadak.
"Saya difahamkan KKM telah menyediakan pelan strategik untuk menghadapi keadaan tersebut dalam tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
#Astro Awani #KKM #Kementerian Kesihatan #COVID-19 #Malaysia #perubatan #Pakar Kesihatan #rentas negeri #balik kampung