Elak rahsia 'kahwin' dua terbongkar, lelaki ditikam bakal 'adik ipar'

Astro Awani
Oktober 16, 2016 14:39 MYT
Lelaki ditikam di kawasan tempat letak kenderaan - Gambar media sosial
Seorang lelaki berumur 34 tahun ditetak dan ditikam di kawasan tempat letak kenderaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) di sini hari ini.
Dalam insiden 11.30 pagi Ahad, mangsa yang ditikam oleh suspek yang juga merupakan kenalannya dan bakal mengahwini adik perempuan mangsa.
Mangsa dipercayai ke pejabat agama bagi mengesahkan khabar bahawa suspek sebenarnya telah berkahwin.
Suspek yang berusia 29 tahun didakwa tidak berpuas hati muncul di tempat yang sama lalu terus menikam mangsa.
Memetik laporan Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata siasatan awal mendapati mangsa Mohd Sukri Hussin ditikam oleh suspek yang juga bakal adik iparnya menggunakan pisau dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi.
"Kita mendapat maklumat orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 11.36 pagi. Melalui siasatan awal, suspek hadir ke pejabat Maidam bersama keluarganya untuk menyemak status perkahwinannya yang berasal dari Kuala Terengganu.
"Setelah disemak, suspek didapati telah berkahwin. Bagaimana pun suspek mendakwa dia masih bujang kepada keluarga mangsa dan berlakulah pertengkaran dan pergelutan antara suspek dan mangsa yang merupakan abang kepada bakal isteri suspek," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Wan Abdul Aziz berkata dalam pertengkaran itu suspek dipercayai mengeluarkan pisau sepanjang enam inci lalu menikam sebanyak enam kali terhadap mangsa yang dua darinya di leher dan dada kiri sehingga membawa kematian kepada mangsa.
Kes disiasat polis di bawah Seksyen 304(a) dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
#adik ipar #Kuala Terengganu #tikam #tunang
;