'Elak pertindihan tugas optimum perbelanjaan negara' - Najib

Wan Syamsul Amly
Disember 16, 2015 19:29 MYT
NAJIB: 'Elak pertindihan tugas optimum perbelanjaan negara' - Gambar fail
Jabatan dan agensi Kerajaan perlu mengelak melakukan tugas sama antara satu sama lain dalam usaha untuk mengoptimumkan perbelanjaan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penyusunan semula bidang yang sudah dikenal pasti sekali gus memastikan proses inovasi dan kreativiti lebih bermakna lagi.
"Saya harap langkah-langkah tertentu boleh diambil untuk menjadikan semua agensi kerajaan lebih terarah dan fokus lagi dalam menentukan usaha terbabit lebih berjaya lagi.
"Bagi mencipta lebih kekayaan, ia juga bergantung kepada kemampuan kita, bukan saja kerja lebih kuat, produktiviti dengan lonjakan berganda akan dapat diraih sekiranya usaha berpaksi kepada nilai tambah dan kreativiti yang lebih tinggi," katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Pada majlis sama, Program Jiwa Murni - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memenangi Anugerah Inovasi Perdana Menteri.
Program berkenaan telah membantu penduduk di kawasan luar bandar termasuk Sarawak, Pahang, Terengganu dan perak dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan darat dan jambatan dengan segera menggunakan kaedah pembinaan yang kreatud dan kos efektif.
Pemenang menerima wang tunai RM1 juta, trofi dan sijil dan anugerah diterima Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.
Dalam pada itu kata Najib, inovasi dan kreativiti akan menjadi dimensi yang ditekankan dalam proses perbincangan percambahan fikiran pasca Wawasan 2020 tidak lama lagi.
"Selain itu kerajaan juga tunjukkan komitmen dalam menggalakkan aktiviti inovasi melalui peruntukan geran penyelidikan dan pembangunan.
"Kerajaan juga sudah lama memperuntukkan sejumlah dana untuk melaksanakan penyelidikan asas, gunaan dan eksperimen," ujarnya.
Sehubungan itu ujarnya, semua pihak yang terlibat dengan misi selepas 2020 itu perlu memberi tumpuan kepada sektor berkenaan sekali gus langkah awal yang harus dimulakan segera.
#inovasi #kreativiti #najib #PICC
;