Elak pergi tempat sesak, praktikkan amalan kebersihan diri - Fadillah Yusof

Astro Awani
Julai 26, 2020 16:05 MYT
Jika rakyat mengambil sikap sambil lewa, keadaan itu akan memberi impak teruk kepada ekonomi. - Foto fail Bernama
Rakyat Sarawak diingatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan keselamatan ditetapkan bagi mengekang peningkatan kes baharu COVID-19 di negeri itu.
Menteri Kanan Infrastruktur, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, masyarakat di negeri itu perlu mengelak daripada pergi ke tempat yang sesak serta mempratikkan amalan kebersihan diri yang tinggi bagi memutuskan penularan COVID-19.
Tegasnya, jika rakyat mengambil sikap sambil lewa, keadaan itu akan memberi impak teruk kepada ekonomi.
"Jika ini berlaku (impak ekonomi) kehidupan rakyat khususnya yang berpendapatan harian akan terjejas.
"Kita tidak mahu rakyat melalui saat-saat sukar ini. Oleh itu saya berharap semua anggota masyarakat memberi kerjasama dalam memerangi COVID-19 daripada terus menular dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Sumber Facebook fadillahyusof194
Justeru Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memohon agar rakyat di negeri itu terus mengamalkan gaya hidup yang bersih dan selamat dalam usaha menghentikan rantaian wabak ini.
Katanya, keputusan yang kita dilakukan hari ini akan membentuk hasil untuk keesokan harinya.
#COVID-19 #Datuk Seri Fadillah Yusof #Fadillah Yusof #kes positif #Kuching #Menteri Kanan Infrastruktur #Parlimen Petra Jaya #Samarahan #Sarawak
;