Elak motosikal punca bas SUK Selangor terbabas masuk parit - Polis

Sinar Harian
Ogos 22, 2024 12:15 MYT
Anggota bomba mengeluarkan mangsa kemalangan melibatkan sebuah bas serta motosikal dekat Kampung Kelanang, Taman Dawai Banting pada Rabu. - Foto JBPM Selangor
KUALA LANGAT: Polis mengesahkan kemalangan bas Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang terbabas ke dalam parit pada Rabu disebabkan kecuaian daripada penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, siasatan dijalankan mendapati kemalangan yang berlaku jam 1.15 tengah hari itu disebabkan penunggang motosikal keluar simpang dari perumahan Kelanang menghala ke Simpang Morib.
Menurutnya, bas milik Pejabat SUK Negeri Selangor dari arah Kelanang menghala ke Simpang Morib.
Beliau berkata, semasa bas tersebut sampai di lokasi kejadian, sebuah motosikal dipercayai telah keluar dari simpang dan membelok ke kanan, seterusnya memasuki laluan bas.
"Akibat jarak terlalu dekat, bas tersebut telah melanggar bahagian sisi sebelah kiri motosikal.
"Pelanggaran itu menyebabkan bas hilang kawalan, seterusnya terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terbalik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki dan rusuk.
"Pemandu bas warga tempatan berusia 41 tahun dan kelindan bas, 39, bersama 21 penumpang yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
"Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222," ujarnya. - Sinar Harian
#bas SUK Selangor #kemalangan bas #punca kemalangan #PDRM