Elak makan kupang, kerangan sementara waktu - Aminuddin

Sinar Harian
April 6, 2024 16:18 MYT
Aminuddin (dua kanan) ketika hadir pada majlis pembukaan sebuah pasar raya di sini pada Sabtu. -Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Orang ramai di negeri ini dinasihatkan untuk tidak memakan kupang atau kerangan terutamanya dari perairan Port Dickson buat sementara waktu susulan kejadian keracunan kupang baru-baru ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia berikutan Jabatan Perikanan (DOF) masih menjalankan analisis dan pemantauan terhadap air dan kupang di kawasan terlibat.
“Kita biasa dengar dulu tentang keracunan membabitkan kupang dan kerang, sudah lama tak terjadi dan kali ini berlaku lagi di Port Dickson.
"DOF pun telah maklumkan puncanya, kita juga tahu di kawasan tersebut banyak penternak kupang.
"Kita harap masyarakat elakkan makan sehingga isu ini selesai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pembukaan sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan melihat beberapa aspek sebelum tindakan lanjut diambil berdasarkan laporan daripada Jabatan Perikanan negeri termasuk jumlah penternak dan sebagainya.
Pada 4 April lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan, Wan Aznan Abdullah dilaporkan berkata, hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.
Beliau berkata, sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya. -Sinar Harian
#Aminuddin Harun #Kupang #Port Dickson #alga berbahaya
;