Elak kucing, polis bantuan maut dilanggar

Astro Awani
Januari 28, 2018 13:23 MYT
Seorang anggota polis bantuan maut dilanggar kereta selepas cuba mengelak seekor kucing melintas jalan. - Astro AWANI
Gara-gara mengelak kucing melintas jalan, seorang anggota polis bantuan maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditungganginya sebelum dilanggar sebuah kereta di Jalan Balai-Besar-Dungun, Terengganu pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa Ros Shaari Abdullah, 33 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Kemalangan berlaku di laluan lurus ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah di Kampung Gong Pasir ke tempat kerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda C70 dikatakan terjatuh selepas cuba mengelak seekor kucing yang secara tiba-tiba melintas jalan.
Sebuah kereta jenis Nissan Almera di belakang mangsa dipandu pemandu farmasi yang menghala ke tempat kerjanya di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya gagal mengelak lalu melanggar mangsa.
Sepasukan pegawai kesihatan yang tiba mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
#Hospital #Jalan Balai-Besar-Dungun #kemalangan #kucing #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia #polis #polis bantuan #UiTM
;