Elak kongsi maklumat operasi SJR di aplikasi Waze - Polis

Bernama
Januari 28, 2023 23:46 MYT
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim menyampaikan ucapan pada program High Profile Policing di 99 Wonderland Park hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat operasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pasukan itu menerusi aplikasi Waze.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata tindakan itu, hanya akan menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan pelbagai kesalahan trafik lain.
Azmi berkata pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan kecuaian daripada pemandu mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan sebagainya.
"Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah-pesalah trafik, tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung keluarga mangsa.
"Oleh itu, besarlah harapan saya agar orang ramai terutamanya pengguna jalan raya, memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini," katanya ketika berucap pada program 'High Profile Policing' di Wonderland Park, Taman Sri Murni, di sini malam ini.
Terdahulu, Azmi bersama Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai dan Pengerusi Eksekutif JL 99 Group Datuk Seri Jeff Lee, menghadiri program 'High Profile Policing' bagi menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap jenayah yang berlaku, selain meningkatkan tahap kesedaran serta keselamatan komuniti setempat.
-- BERNAMA
#SJR #Sekatan Jalan Raya #waze #Polis Kuala Lumpur
;