Elak kepupusan baka, penternak diminta patuhi larangan sembelih lembu betina
Bernama
Mei 15, 2014 13:27 MYT
Mei 15, 2014 13:27 MYT
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu meminta para pengusaha ternakan supaya mematuhi peraturan jabatan itu supaya tidak menyembelih lembu betina mereka bagi mengelak kepupusan baka.
Pengarahnya berkata larangan itu juga dibuat bagi mengelak kekurangan daging lembu.
"Kalau seekor lembu betina disembelih, maka tujuh generasi (baka) lembu berkenaan akan habis. Kita dahlah tak cukup daging, nak import dari Australia, mahal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri di sini hari ini yang turut disertai lebih 100 penternak.
Abd Razak berkata larangan itu adalah bagi memastikan pembiakan lembu yang berterusan dan bekalan daging yang mencukupi.
Katanya ada juga di kalangan para penternak yag menutup sebelah mata dengan melakukan penyembelihan ke atas lembu-lembu betina, yang sepatutnya tidak berlaku.
Beliau berkata lembu-lembu betina hanya boleh disembelih apabila pegawai veterinar mendapati lembu itu tidak lagi boleh membiak, sudah tidak boleh bunting, patah kaki dan sebagainya dan jabatan akan mengeluarkan sijil kesihatan supaya ia boleh disembelih di rumah sembelih.
Katanya kalau tidak ada rumah sembelih, jabatan akan mengeluarkan permit untuk disembelih di kawasan luar yang akan dipantau oleh pegawai veterinar bagi memastikan lembu itu selamat untuk dimakan.
Abd Razak berkata jika ada pengusaha engkar dan menyembelih lembu betina, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mereka.
"Namun saya mintalah janganlah sampai begitu sekali, nanti menyusahkan pengusaha dan juga jabatan dan saya tidak mahu perkara itu berlaku," katanya.