Elak jemu, 42 menu disedia kepada 31,600 jemaah haji Malaysia
Azlinariah Abdullah
Mei 22, 2024 12:00 MYT
Mei 22, 2024 12:00 MYT
MEKAH: Daging masak halia, ayam rendang, nasi bukhari daging gulai kawah, sotong goreng kunyit dan ayam lada hitam sos tiram.
Itu antara 42 menu yang disajikan kepada jemaah Malaysia sepanjang musim haji 1445H/2024M, supaya mereka tidak jemu serta bosan dengan juadah sama setiap kali waktu makan tengah hari atau malam.
Selebihnya, kepelbagaian menu itu diharap dapat mengubat kerinduan jemaah kepada masakan Malaysia sewaktu mereka berada di Tanah Suci, menunaikan ibadah haji.
Ketua Rombongan Haji 1445H/2024M, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setiap tahun pihaknya melakukan perancangan awal dalam menentukan menu makanan jemaah selain mengekalkan piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Arab Saudi.
“Kesemuanya ada 42 jenis menu, menunjukkan sekurang-kurangnya ia mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum menu yang sama diulang agar jemaah tidak berasa jemu."
"Dengan kata lain, ini bermakna jemaah akan tunggu sehingga minggu ketiga baru mereka mendapat menu yang sama,” katanya kepada petugas media selepas melawat tiga buah dapur yang dikhaskan untuk memasak makanan jemaah Malaysia iaitu Dapur Retaj, Al Salmi dan Dapur Al Wafa.
Ketiga-tiga dapur itu dikendalikan oleh dua cef profesional dari Malaysia dan selain bahan-bahan segar, mereka turut menggunakan rempah pracampur hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) unit operasi katering Tabung Haji (TH).
Syed Saleh berkata, penggunaan rempah itu mampu mengekalkan rasa yang sama pada setiap hidangan lebih-lebih lagi penyediaan makanan melibatkan jumlah yang banyak serta perlu disiapkan tepat pada waktunya.
“Kita juga memastikan bukan sahaja cita rasa jemaah itu dipenuhi tetapi juga dapur ini mengikut piawaian kebersihan, keselamatan makanan, penyediaan yang mematuhi standard,” katanya.
Beliau berkata, pihak Arab Saudi juga memantau persediaan makanan di dapur menerusi Unit Perbandaran Kota Mekah, selain mengenakan syarat ketat terutama dari sudut kebersihan.
Katanya, cabaran mengendalikan makanan dalam kuantiti yang besar, termasuk pasukan operasi katering perlu patuh kepada undang-undang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang sememangnya lebih ketat berbanding di Malaysia.
Sementara itu, ditanya maklum balas jemaah dengan hidangan yang disediakan kepada mereka, Syed Saleh memberitahu, beliau sendiri ada bertanya jemaah mengenainya dan mereka akui masakan dan pilihan menu adalah memenuhi cita rasa mereka.
"Di Madinah misalnya, saya ada membawa chef dari dapur yang menyediakan masakan di sektor itu dan selesai jemaah menikmati hidangan, mereka memberikan tepukan kepada masakan chef berkenaan dan itu saya percaya petanda bahawa mereka menggemari masakan yang disediakan buat mereka," ujar beliau.
Sebanyak dua juta pek makanan akan disediakan oleh TH bagi menampung keperluan 31,600 jemaah haji sepanjang musim haji tahun ini.
Di Mekah misalnya, setiap hari mereka akan mengedarkan lebih 4,000 pek makanan kepada jemaah di 9 maktab di 11 bangunan TH.
Selain cita rasa, TH turut menitikberatkan soal nutrisi dan khasiat di mana di dalam satu pek sajian, terdapat karbohidrat, protein dan sayuran.
"Secara keseluruhan, bahan mentah yang digunakan iaitu nasi adalah sebanyak 3.2 tan sekali makan, tengah hari dan malam; protein 5 tan sekali makan dan sayur 2.5 tan. Di dalam satu hidangan untuk jemaah, nasi diletakkan seberat 200 gram, protein (150 gram) dan sayur 80 gram," jelasnya.