Elak ikan asing terlepas ke perairan umum, jaring dipasang di laluan air keluar di Tasik Biru

Bernama
Jun 28, 2024 16:48 MYT
DOF memaklumkan penganjur mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program.
PUTRAJAYA: Pemasangan jaring pada laluan air keluar di Tasik Biru, Kundang di Rawang, Selangor akan dilaksanakan bagi memastikan ikan patin Chao Praya yang dilepaskan di tasik itu baru-baru ini tidak terlepas ke perairan umum.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengadakan pertemuan bersama pengurus dan penganjur satu program memancing susulan tular hantaran di Facebook mengenai ikan patin Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) yang dilepaskan di tasik berkenaan.
"Penganjur memaklumkan ikan-ikan tersebut dilepaskan bagi program pertandingan memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang akan diadakan pada 29 Jun 2024.
"Jaminan diberi oleh penganjur untuk memasang jaring pada laluan air keluar dari tasik bagi mengelakkan ikan asing terlepas ke perairan umum dan akan bekerjasama dengan DOF serta agensi lain bagi program-program mengeluarkan spesies ikan asing daripada tasik," menurut kenyataan itu.
DOF memaklumkan penganjur mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program.
"(Penganjur) juga memberi peringatan kepada peserta memancing untuk tidak melepaskan semula hasil tangkapan ikan asing ke dalam tasik atau sumber air sama ada semasa atau selepas program," menurut kenyataan itu.
DOF mengingatkan orang awam atau mana-mana pihak untuk tidak melepaskan anak-anak ikan atau ikan-ikan yang tergolong dalam kategori ikan pemangsa (invasif) atau spesies asing sewenang-wenangnya ke perairan umum, sungai atau tasik.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor Noraisyah Abu Bakar dalam kenyataan sama meminta orang awam atau mana-mana individu untuk berhubung dengan Pejabat Perikanan Negeri atau Daerah bagi mendapatkan khidmat nasihat berkenaan pelepasan ikan.
"DOF juga akan membuat hebahan yang lebih menyeluruh kepada agensi lain serta pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengelakkan isu sebegini terjadi berulang kali," katanya.
-- BERNAMA
#jabatan perikanan #Tasik Biru #Kundang #ikan patin asing #ikan asing #pertandingan memancing
;