Elak guna kad kredit untuk buat persiapan raya - Perunding Kewangan

Faida Rahim
April 9, 2023 23:33 MYT
Shamsuddin juga menasihatkan pengguna agar mengurangkan atau mengelak berbelanja menggunakan kad kredit yang boleh mendatangkan kemudaratan. - Gambar Facebook Shamsuddin Kadir
KUALA LUMPUR: Perunding Kewangan Shamsuddin Kadir menasihatkan masyarakat menyenaraikan peruntukan mengikut kemampuan masing-masing terutama di musim perayaan.
Shamsuddin juga menasihatkan pengguna agar mengurangkan atau mengelak berbelanja menggunakan kad kredit yang boleh mendatangkan kemudaratan.
“Kena tengok dari senarai sama ada kita mampu atau tidak dan elak guna kad kredit untuk berbelanja untuk perayaan sekiranya tidak mampu untuk membayar kesemuanya. Jadi senaraikan peruntukan untuk hidangan kuih raya dan duit raya dan pastikan sama ada cukup atau sebaliknya.
“Cuba potong apa yang tidak perlu, kuih raya pelbagai jenis, ada pilihan untuk cari yang lebih murah dengan kuantiti yang lebih banyak pada tahun ini. Ini kerana segala kos termasuk pakaian dan makanan rata-rata meningkat lebih 10 peratus tahun ini,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Dalam pada itu, Shamsuddin menasihatkan ibu-bapa bertindak bijak dalam berbelanja untuk anak-anak.
“Kanak-kanak biasanya sentiasa memancing emosi ibu bapa mereka untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
“Jadi yang paling bagusnya, bermula hari raya ini kalau kita belum buat, kita tanya dulu setiap anak apa yang mereka mahu menjelang hari raya ini.
“Jangan kita terkejut kerana ada anak yang tak kisah. Kalau ada yang tak kisah, kita boleh tengok dalam almari, tanya mereka yang ini okay tak. Kalau ada yang baru, kita belikan. Kalau yang tak nak, mungkin kita boleh buat win win situation maksudnya yang tidak mahu baju baru kita bagi duit raya lebih sikit,” katanya.
#musim perayaan #Shamsuddin Kadir #kuih raya #win win situation
;