Elak 'gulung tikar'.... Digitalisasi selamatkan perniagaan dua beranak ini
Ehsan A Marisah
Julai 1, 2021 16:12 MYT
Julai 1, 2021 16:12 MYT
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19 bukan sahaja mengubah landskap kehidupan rakyat bahkan memberikan kesan kepada ekonomi negara.
Malah ramai antara peniaga mikro seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai kewangan kukuh merasakan ‘bahang’ itu secara langsung yang akhirnya terpaksa mengambil keputusan untuk menggulung tikar.
Di tengah-tengah ‘iklim’ ini, dua beranak, Noor Sabrina Abd Hamid dan ibunya, Rokiah Don yang menjual nasi lemak mengakui mereka masih mampu bertahan dengan bimbingan dan geran ditawarkan menerusi Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic.
“Kami sertai pada tahun 2018, secara jujurnya memang hendak mendapatkan geran dan barangan sahaja tetapi rupa-rupanya ilmu yang diajarkan sangat mustahak dan program ini seiringan serta seimbang.
“Mak (Rokiah) berniaga sejak saya kecil lagi, ingatkan ilmu sudah cukup tetapi sebenarnya banyak lagi ilmu yang kami tidak tahu terutamanya promosi dan digitalisasi kepada luar kawasan,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Dalam pada itu, dua beranak tersebut berkata, menggunakan platform dalam talian untuk mempromosikan perniagaan meluaskan lagi pasaran dan pelanggan mereka.
“Pada bulan Ramadan tahun lalu, kami berniaga dalam talian kerana bazar tidak dibenarkan beroperasi dan mendapat sambutan mengejutkan sehinggakan tidak menang tangan untuk menerima pesanan.
“Pandemik juga mengajarkan kami cara menguruskan pelanggan kerana sangat berbeza dengan pelanggan di kedai fizikal dan program ini tidak membiarkan kami terkapai-kapai, sentiasa keep in touch dengan alumni dan banyak program susulan turut dibuat seperti mentoring dan program susulan, iaitu MicroBizReady,” katanya.
Sementara itu, mereka turut mengajak peniaga mikro dan PKS di luar sana untuk mengikuti program itu demi kelangsungan perniagaan bagi jangka masa panjang.
“Kelas-kelas disusun dengan baik untuk mempersiapkan kami berhadapan dengan juri bagi memenangi geran sehinggakan mak diisytiharkan sebagai pelajar terbaik. Selain itu, mak seronok menyertai kelas dan berjumpa penceramah profesional.
“Para peniaga di luar sana jangan down, sekiranya ada peluang sertai program ini, ikutilah kerana ilmu diajarkan diperlukan masa ini dan jangan anggap ini sebagai penghujung, kutiplah sebanyak mungkin ilmu secara percuma di platform maya ketika ini,” ujarnya lagi.
Sejak program tersebut dimulakan pada 2017, seramai 381 orang peniaga kecil dari golongan B40 telah mendapat manfaat daripada peluang ini. Sebilangan kecil dari mereka turut merangkumi ibu tunggal serta orang kurang upaya (OKU).
#PKS
#COVID-19
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#peniaga
#online business
#Program Keusahawanan Taylor s-CIMB Islamic
#ekonomi
#keusahawanan
#usahawan