Elak 'fear factor': Tiada lagi pengumuman kes harian bermula esok - Khairy

Hasimi Muhamad
Februari 17, 2022 17:39 MYT
Jelas Khairy, perincian matrik dan data dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi COVID-19. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bermula esok, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan mengumumkan bilangan kes harian COVID-19 pada hari berikutnya jam 10 pagi.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata langkah tersebut bagi memastikan keseluruhan data dapat diperincikan dengan lebih menyeluruh.
"Ia akan dimaklumkan bersama data-data yang lain pada pukul 10 pagi keesokan hari.
"Ini adalah supaya dapat baca data kes harian bersama dengan data-data lain seperti kemasukan kes hospital dan sebagainya.
"Ini untuk kita mengurangkan 'fear factor' kes harian dan ia perubahan budaya. Berhenti melihat kepada (kes harian), tetapi kita melihat bersama dengan semua data," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.
Jelas Khairy, perincian matrik dan data dapat membantu rakyat memahami keadaan sebenar mengenai situasi COVID-19.
Beliau berkata demikian dalam sidang media KKM di sini, pada Khamis. Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Dr Roshayati Mohd Sani.
#Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #laporan harian COVID-19
;