Elak anggota sabotaj parti

Bernama
Oktober 24, 2012 10:54 MYT
Pucuk pimpinan Umno perlu menamakan calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lebih awal bagi membanteras kegiatan sabotaj dalam parti itu.
Setiausaha Kelab Veteran Umno Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata dengan cara itu anggota Umno yang melakukan kegiatan itu dapat dikenal pasti dengan lebih awal.
"Dengan ini tindakan ke atas pensabotaj ini akan lebih berkesan daripada mengambil tindakan ke atas mereka di saat akhir selepas penamaan calon, katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dengan mengumumkan nama calon lebih awal, usaha memujuk juga boleh dilakukan dengan lebih berkesan terhadap mereka yang tidak terpilih kerana mereka telah dimaklumkan lebih awal tidak dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata Majlis Tertinggi Umno bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau mensabotaj calon Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Mustapha berkata pucuk pimpinan Umno juga perlu menangani perasaan tidak puas hati mereka yang tidak terpilih dengan berhemah, bijaksana dan penuh hikmah bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.
"Pemimpin yang dikenal pasti tidak akan bertanding patut diberitahu lebih awal bagi mengelak daripada mereka menanggung malu sekiranya mereka tidak terpilih di saat akhir sebelum penamaan calon.
"Cara ini boleh mengelak atau mengurang perbuatan sabotaj daripada mereka yang tidak terpilih terhadap calon yang dipilih bertanding," katanya.
#Mustapha #pilihan raya #PRU13 #sabotaj #UMNO #veteran
;