El-Nino: Tasik Putrajaya mungkin jadi sumber air baharu

Bernama
Jun 25, 2014 22:44 MYT
El-Nino: Tasik Putrajaya mungkin jadi sumber air baharu
Tasik Putrajaya akan menjadi antara lokasi yang berkemungkinan dipilih sebagai sumber air bagi para pengguna sekitar Lembah Klang sekiranya paras empangan air di sekitarnya berada di tahap kritikal ekoran fenomena El-Nino yang dijangka berlaku hujung bulan ini.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, selain itu, tasik lain seperti di Mines, Seri Kembangan dan beberapa lokasi turut terpilih sekiranya Kementerian Kesihatan mengesahkan tasik-tasik berkenaan selamat untuk digunakan.
Beliau menjelaskan, alternatif itu merupakan antara beberapa cadangan yang akan dikemukakan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa El-Nino dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Jun ini.`
"Selain itu, kita berhasrat untuk menggunakan sumber air bawah tanah bagi menampung keperluan air sama ada domestik atau industri yang terjejas akibat musim kemarau.
Jawatankuasa El-Nino itu perlu terlebih dahulu mendapatkan data paras empangan di seluruh negara sebelum membuat sebarang keputusan," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan majlis pembukaan rasmi Hotel Tune klia2 di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada kemungkinan catuan air berulang kembali, Mahdzir berkata, pihaknya perlu mendapat penjelasan Jabatan Meteorologi berhubung perubahan monsun barat daya pada minggu kedua Julai ini.
Katanya, fenomena cuaca panas yang berlaku sejak minggu lalu bukan berpunca daripada El-Nino tetapi disebabkan oleh Monsun Barat Daya dari Lautan Hindi.
"Pada minggu kedua bulan hadapan, kita akan lihat sama Monsun Barat Daya telah beralih daripada Lautan Hindi kepada Lautan Pasifik dan jika berlaku, maka fenomena El-Nino telah melanda.
Fenomeno El-Nino mendatangkan cuaca panas berpanjangan bakal memberi impak cukup besar pada negara dengan melibatkan lima sektor iaitu domestik, pertanian, industri, janakuasa eletrik dan kesihatan," katanya.
#Putrajaya #tasik
;